Monday, 2 July 2012

Budaya Satay @ Sate


Siapa yang tak suka makan satay @ sate?? Saya dan satay memang tak dapat dipisahkan. Sejak ianya beharga RM0.30 secucuk sehinggalah sekarang ada yang beharga RM0.90 atau ada yang menjualnya lebih mahal saya antara penggemar makanan ini. Sebutlah satay apa, Satay Gombak, Satay Kajang, Satay Tulang dan etc semuanya saya pernah jelajah hanya untuk merasa kenikmatan makanan tersebut.

Tetapi entri kali ini yang saya ingin tekankan adalah "BUDAYA SATAY".

Jika kita merujuk kepada KAMUS DEWAN Satay @ sate ialah makanan yang dibuat daripada potongan kecil daging yang dicucuk dan dipanggang, dimakan dengan kuah. 

Perkataan sate ada penambahannya. Contohnya, menyate, mempersate dan persatean. Agaknya apa maksud mempersate? Maksudnya ialah melakukan perpecahan pada sesuatu persatuan. Begitu juga maksud persatean iaitu perpecahan kepada pertubuhan dan lain-lain. Nah, sekarang kita tahu maksud perkataannya disebalik keenakan menikmati juadahnya.

Pernah dalam suatu ceramah pemantapan kerja penceramah ada menyebut 'jangan mengamalkan budaya satay'. Dalam hati saya bertanya mengapakah satay yang lazat itu menjadi mangsa? 

Penceramah menambah yang proses membuat satay dimulakan dengan "potong-memotong" daging atau ayam, kemudian berlaku "cucuk-mencucuk", kemudian berlaku proses "bakar-membakar", kemudian berlaku "kipas-mengipas" supaya satay terus terbakar.


Budaya potong memotong yang diikuti dengan cucuk mencucuk iaitu menghasut sehingga menimbulkan pergaduhan. Kemudian proses membakar iaitu diapi-apikan pula supaya terus tegang. Kemudian dikipas kedua-dua belah pihak supaya masing-masing merasa merekalah yang betul dan pihak yang sebelah lagi yang salah.

Saya pasti proses tadi banyak berlaku dalam sesebuah persatuan atau organisasi. Sanggupkah kita melihat persatuan atau organisasi kita hancur berkecai? Ingat! Apabila ramai mempersatekan persatuan /  organisasi maka akhirnya persatuan / organisasi tadi mengalami persatean.

.::Renung-renungkan dan selamat beramal::.