Sunday 20 May 2012

Adat Perkahwinan Di Malaysia

Hari ini kita bercerita sikit berkenaan adat perkahwinan masyarakat/bangsa yang ada di Malaysia. Kadang-kadang kita orang Malaysia yang hidup berbilang kaum tidak mengetahui adat atau pantang larang dalam sesebuah majlis perkahwinan bangsa lain. Jadi ikuti kupasannya.

Adat Perkahwinan Bangsa di Malaysia
Malaysia adalah sebuah negara berbilang kaum yang hidup dalam suasana yang penuh harmoni. Upacara perkahwinan selalu mendapat perhatian penuh dari semua golongan di Malaysia. Di sebalik keramaian yang penuh warna warni, upacara ini melambangkan perpaduan kaum yang mempunyai latarbelakang budaya dan adat resam yang berbeza. 

Adat Perkahwinan Tradisional Masyarakat Melayu
Adat perkahwinan tradisional masyarakat Melayu boleh dibahagikan kepada beberapa proses iaitu merisik atau meninjau; upacara peminangan; upacara menghantar tanda; hantaran belanja; menjemput; upacara nikah; berinai besar; hari persandingan; jemput menantu.
Merisik
Permulaan proses perkahwinan ialah merisik atau meninjau. Biasanya dilaksanakan oleh keluarga pihak lelaki, khususnya ibubapa. Setelah teruna dan keluarganya berkenan dengan gadis yang dipilih , usaha merisik dijalankan untuk mengetahui samada gadis itu sudah berpunya atau tidak. Hasil daripada merisik ini akan dibuat rundingan dengan keluarga si teruna. Apabila diketahui sigadis belum berpunya upacara peminangan diaturkan.

Acara Peminangan
Meminang sigadis hanya dilakukan bila keluarga sigadis menyatakan persetujuannya. Tugas meminang biasanya dilakukan oleh wakil kedua-dua belah pihak, biasanya ketua-ketua adat dan syarak. Semasa meminang akan ditetapkan tarikh menghantar tanda. Perkara-perkara yang dibincangkan semasa upacara peminangan ialah hantaran belanja, persalinan dan tempoh bertunang. Disesetengah-sesetengah tempat berita pertunangan itu diberitahu kepada seisi kampong oleh Ketua Kampong di masjid ketika mengadakan sembahyang Jumaat.

Menghantar Tanda
Semasa upacara menghantar tanda, kebiasaannya sebentuk cincin akan dihantar oleh pihak teruna untuk disarungkan ke jari tunangannya. Menyampai dan menerima cincin itu dilakukan dalam majlis di rumah sigadis. Cincin ini disebut sebagai ‘cincin tanda’. Ia biasanya diiringi juga dengan sebahagian wang hantaran belanja. Tarikh perkahwinan juga dibincangkan bersama.
Hantaran belanja
Pada tarikh yang dijanjikan upacara menghantar belanja dijalankan. Kedua-dua belah pihak diketuai oleh Ketua Kampong atau Ketua Syarak. Wang hantaran itu biasanya diiringi dengan persalinan untuk sigadis. Ia digubah dalam berbagai bentuk atau dibungkus dalam kain sahaja mengikut adat daerah masing-masing. Iringan yang lain termasuk bunga rampai; sirih junjung atau tepak sireh sahaja; pahar telor merah dan nasi semangat; alat solek; buah-buah atau lain-lain.
Menjemput
Waris bakal pengantin ( ayah atau ibu, atau orang yang wajib dan diwakilkan) akan berkunjung ke rumah orang tua-tua di kampong itu untuk membritahu tentang hari perkahwinan itu. Mereka akan membawa tepak sireh dan terus menjemput dan meminta sanak saudara serta sahabat handai datang ke rumahnya bagi mengelolakan majlis itu. Majlis kenduri kahwin dimulakan di rumah pengantin perempuan.
Upacara Nikah
Upacara akad nikah dijalankan sebelum upacara berinai besar dan bersanding. Imam mewakili wali perempuan menjadi jurunikah. Dalam upacara ini juga disahkan hantaran dan lain-lain. Mas kahwin disebut samada hutang atau tunai. Mas kahwin akan diserahkan kepada pangantin perempuan dan menjadi haknya. Dari saat ini sahlah mereka menjadi suami isteri.
Berinai Besar
Kedua pengantin memakai pakaian pengantin. Pengantin lelaki datang ke rumah pengantin perempuan dengan iringan arakan rebana. Upacara berinai didahului oleh pengantin lelaki yang duduk di pelamin. Ahli keluarga akan bergilir-gilir menjalankan upacara itu. Pengantin perempuan akan mengambil tempat selepas pengantin lelaki.

Majlis persandingan
Dihari persandingan, jamuan diadakan secara besar-besaran di rumah pengantin perempuan. Pengantin lelaki serta rombongannya akan diarak dan diiringi dengan selawat dan pukulan rebana dari rumahnya atau tempat persinggahannya ke rumah pengantin perempuan. Hantaran akan dibawa bersama sekiranya ia belum dihantar terlebih dahulu.

Jemput menantu
Majlis jemput menantu atau ‘menyambut menantu’ diadakan di rumah pengantin lelaki. Pengantin perempuan dijemput datang ke rumah pengantin lelaki biasanya dibuat pada hari ketiga, kelima atau seminggu selepas diadakan majlis persandingan.
Perkahwinan Masyarakat Cina
Hari perkahwinan akan dilangsungkan setelah setahun bertunang atau mengikut tempoh yang dipersetujui oleh kedua belah pihak. Sebelum tiba hari perkahwinan sekiranya terdapat kematian di kalangan ahli keluarga bakal pengantin, perkahwinan itu mesti ditangguhkan pada tahun hadapan ataupun selama seratus hari. Adalah tidak manis mengadakan perkahwinan sewaktu orang lain sedang berkabung kesedihan. Pada hari perkahwinan tersebut pengantin perempuan dan lelaki dihias indah. Masyarakat Cina pada masa dahulu memakai pakaian pengantin yang diperbuat daripada kain sutera dan disulam benang emas. Kemudian setiap pakaian dihias dengan pelbagai aksesori. Baju pengantin sebaik-baiknya bewarna putih, merah atau kuning. Adalah dilarang memakai baju hitam, biru dan kelabu kerana dipercayai warna-warna tersebut melambangkan kematian dan kesedihan.
Seterusnya pengantin lelaki akan bertandang ke rumah pengantin perempuan dan pada masa itulah pengantin lelaki dan perempuan akan duduk bersama buat kali pertama. Mereka akan diiringi oleh pengiring masing-masing. Seterusnya pasangan pengantin akan didudukkan di atas pelamin yang telah disediakan di ruang tamu. Selepas acara bersanding, pasangan pengantin akan dibawa bertemu ahli keluarga masing-masing. Pengantin lelaki akan memperkenalkan keluarga dan sauadara maranya kepada isterinya dan ini begitulah sebaliknya di samping itu juga kedua pengantin akan meminta restu daripada keluarga mertua masing-masing. Dalam masyarakat Cina juga, upacara meminum teh sangat penting dan masih diamalkan. Ia merupakan tradisi masyarakat Cina yang mempunyai maksud yang tersendiri.
Adat ini melambangkan penerimaan pasangan pengantin terutamanya si isteri dalam keluarga si suami di samping bertujuan untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan. Dalam upacara ini pasangan pengantin akan memberi teh yang disediakan kepada saudara mara pihak lelaki. Walau bagaimanapun adat bersanding dan upacara minum teh ini sudah kurang diamalkan oleh masyarakat Cina hari ini.
Kemuncak upacara perkahwinan masyarakat Cina ialah pada sebelah malam iaitu jamuan makan. Jamuan makan ini diadakan secara besar-besaran samada di rumah, dewan, atau restoran. Tetamu-tetamu yang datang akan membawa ang-pau sebagai hadiah kepada pasangan pengantin. Pada masa yang sama kedua pengantin akan cuba mengenali dan beramah mesra dengan ahli keluarga kedua belah pihak. Akhir sekali, sebagai bukti perkahwinan, pasangan pengantin akan menandatangani dua pucuk surat perkahwinan iaitu Keat Foon Ching Su di hadapan beberapa orang saksi.
Pada hari ini masyarakat Cina kurang mengamalkan adat perkahwinan secara tradisi sebaliknya menjalankan perkahwinan secara sivil iaitu dengan mendaftarkan perkahwinan di gereja, terutamanya di kalangan mereka yang beragama Kristian.
Perkahwinan Masyarakat India
Di Malaysia majlis perkahwinan masyarakat India dijalankan oleh pendanda. Pedanda memulakan upacara perkahwinan dengan sembahyang memohon restu kepada Tuhan supaya perkahwinan berjalan lancar tanpa apa-apa halangan. Dulang berisi atchatai dibawa kepada hadirin. Atchatai ialah beras yang dicampur kunyit serta bunga yang ditaburkan diatasnya.
Beras ini digunakan untuk merestui pengantin sewaktu upacara mengikat thali berlangsung. Pedanda akan menyerahkan thaali kepada pengantin lelaki. Sebaik sahaja diarahkan oleh pedanda, pengantin lelaki akan mengikat thaali pada leher pengantin perempuan. Thaali hendaklah menyentuh dada dan benang suci akan disimpul sebanyak tiga kali.
Sewaktu upacara ini berlangsung atchatai akan ditaburkan ke atas pengantin sebagai tanda restu. Seterusnya pengantin akan bertukar kalungan bunga yang dipakai sebanyak tiga kali. Selepas itu pengantin lelaki akan memegang tangan pengantin perempuan dan mengelilingi api sebanyak tiga kali.
Perkahwinan Cina Peranakan
Orang-orang Cina peranakan adalah orang Malaysia yang dilahirkan di Negeri-negeri Selat iaitu negeri Melaka, Singapura dan Pulau Pinang. Ahli wanitanya dipanggil nyonya dan ahli lelaki dipanggil Baba. Adat-adat yang serupa masyarakat Melayu boleh di dapati di dalam perkahwinan mereka iaitu dari tepak sireh yang melambangkan kesucian wanita yang akan berkahwin itu.
Adat lain termasuk ‘mas kahwin’ diserahkan kepada ibu bapa gadis itu kerana kesucian gadis itu. Upacara lain ialah pertukaran cincin dan hadiah, penggunaan bunga rampai dan pembakaran setanggi. Muzik dimainkan oleh kumpulan ronggeng, boria dan pancaragam serunai Cina. Upacara berlangsung selama 12 hari bagi orang-orang kaya manakala golongan biasa ialah pada hari pertama dan hari kedua belas sahaja.
Perkahwinan Orang Asli
Perkahwinan orang asli (Puak Mahmeri) mempunyai banyak persamaan dengan perkahwinan masyarakat Melayu seperti adat merisik, menghantar tanda dan meminang. Sehari sebelum hari perkahwinan beberapa istiadat akan diadakan seperti istiadat menepung tawar/menghalau hantu syaitan; istiadat mengasah gigi/ mengandam; membuang sial; menggantung kelambu dan berinai. Semasa majlis perkahwinan berlangsung, beberapa adat istiadat diadakan sempena majlis tersebut iaitu menjulang pengantin; pertarungan pencak silat; mengelilingi busut; membasuh kaki; nasi dalam/ sirih perancang dan mandi bunga gomba.
Perkahwinan Masyarakat Iban
Istiadat perkahwinan orang Iban adalah sungguh meriah. Pengantin perempuan akan dipakaikan dengan pakaian yang indah dan berbagai bentuk perhiasan. Dia akan diarak ke rumah pengantin lelaki dengan iringan pukulan alat-alat muzik yang kuat. Mereka percaya bahawa bunyian alat muzik yang kuat akan menghalang alamat-alamat yang tidak baik. Pada malam pengantin, mereka akan masuk tidur awal bagi mengelakkan dari mendengar alamat-alamat yang tidak baik.
Di rumah pengantin lelaki, pengantin perempuan harus bangun pagi untuk menumbuk padi kerana ibu mertuanya akan memastikan tiada beras untuk dimasak. Selepas tiga hari mereka akan tinggal dirumah pengantin perempuan pula selama tiga hari juga. Pengantin lelaki akan ditugaskan untuk mencari kayu api.

Perkahwinan Masyarakat Murut
Perkahwinan orang Murut adalah seawal umur 15 hingga 18 tahun bagi si teruna dan 13 tahun bagi si gadis. Mas kahwin yang biasa dipohon oleh ibu bapa si gadis orang Murut adalah 2 ekor kerbau; 1 tajau sejenis “tilauan; 1 tajau jenis minukul; 1 tajau jenis belaying, 1 tajau jenis “manila 1 buah gong dan 1 sumpitan. Istiadat perkahwinan akan dijalankan selama lima hari berturut-turut, tiga hari di rumah pihak perempuan dan dua hari di rumah pihak lelaki. Dalam masa tiga hari tetamu akan bersukaria sambil makan dan meminum air tuak. Pertandingan meminum tuak secara persahabatan juga diadakan.
Sumber: Kementerian Perpaduan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan
Perkahwinan Masyarakat Portugis (Serani)
Pada zaman dahulu perkahwinan orang portugis diadakan pada hari Selasa. Di hari tersebut pengantin perempuan akan memakai kebaya laboh (cabaia) dan kain sarung sutera berwarna putih (saia) beserta kasut yang bermanik. Rambutnya didandan dengan cucuk sanggul dan permata tiruan. Sebelum ke gereja dia mencium tangan ibu dan ayahnya serta seluruh keluarga. Upacara ini dinamakan “large Noiba?.
Pengantin lelaki pula memakai suit hitam, baju dan bow berwarna putih berserta topi tinggi yang diikat pita hitam. Pengantin lelaki harus tiba terlebih dahulu di gereja dan menunggu pengantin perempuan. Upacara perkahwinan ini dilangsungkan di gereja. Selepas upacara perkahwinan, kedua-dua mempelai ini akan melawat orang-orang yang telah menolong menjayakan perkahwinan mereka untuk mengucapkan terima kasih. Adat ini dinamakan “noiba missa I gereja.
Sumber : Jabatan Penerangan

2 comments:

  1. melukis inai di tangan menyerupa kaum yg menyembah berhala...wallahualam

    ReplyDelete
  2. hah nak kena kupas tu tajuk tersebut. . nanti saya cari bahan. .

    ReplyDelete

korang nk tulis apa suka hati ler tapi jgn sampai yg boleh didakwa di mahkamah dan leh disaman juta-juta dah la. Pihak mentol neon tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam laman ini.