Wednesday 23 May 2012

Amalan Protokol DIRAJA

Kadang-kadang jika dilihat di televisyen ketika upacara penyampaian hadiah contohnya Penyampaian Piala kepada pasukan yang menang oleh Yang Dipertuan Agong (YDPA) atau Sultan sesebuah negeri, pemain-pemain tersebut seperti tidak mengetahui cara bagaimana untuk menyembah dan cara bersalaman dengan YDPA atau Sultan. Mungkin sesetengah orang berpandangan perkara seperti ini adalah remeh. Tetapi cuba kita bayangkan pandangan orang luar jika mengetahui yang menyampaikan piala itu adalah pemimpin tertinggi negara dan pemain-pemain itu sambil lewa sahaja menunjukkan rasa hormat maka persepsi ini akan menjatuhkan imej Diraja Malaysia.

Oleh yang demikian pada entry kali ini sama-sama kita kongsi Amalan Protokol DiRaja.

ADAT TERTIB MENGADAP

Awam 
Berdiri tegak , kaki kanan dan kiri dirapatkan.
Luruskan kedua-dua tangan , beri sembah hormat (menjunjung duli) / menundukkan kepala.
Jangan terlalu tunduk seolah-olah membongkok yang menyerupai adat hormat masyarakat Jepun
Jarak dengan baginda Tuanku tidak terlalu rapat atau terlalu jauh (2 hingga 3 kaki).
Ketika bersalaman - hendaklah tunduk hormat/mencium tangan

Pegawai Pakaian Seragam
Hendaklah memberi "Tabik Hormat".
Jika berdiri jauh, perlu "Tabik Hormat" dahulu sebelum berjalan menghampiri baginda.

ADAT  TERTIB HORMAT KETIKA SPB TUANKU BERDUA BERSEMAYAM (DUDUK)

Berdiri tegak - kaki kanan dan kiri dirapatkan.
Luruskan kedua-dua tangan - beri sembah hormat (menjunjung duli) / menundukkan kepala.
Kemudian menghampiri baginda, berlutut dan mencium tangan baginda.
Selepas itu berundur kira-kira tiga tapak, beri sembah hormat (Menjunjung Duli) / menundukkan kepala sekali lagi sebelum berpusing.


ADAT TERTIB KETIKA MENGIRING SPB TUANKU BERDUA
Apabila anda mengiring kebawah Duli Tuanku, anda hendaklah berjalan di belakang sedikit daripada Tuanku dan tidak sekali-kali seiring dengan Baginda (disebelah kanan atau sebelah kiri).
Apabila terpaksa berlalu di hadapan Tuanku, anda hendaklah hormat takzim / tunduk hormat sambil berkata "Patik mohon lalu Tuanku.
Apabila Tuanku berangkat lalu di hadapan anda, anda hendaklah memberi hormat takzim / tunduk hormat (bagi lelaki) dan hormat penuh takzim (Curtsey)  bagi wanita.
Jika Baginda berangkat lalu di belakang anda, anda hendaklah berpusing menghadap KeBawah Duli Tuanku dan memberikan hormat takzim / tunduk hormat / hormat penuh takzim.
Apabila anda berdiri di hadapan dengan Baginda, elakkan dari berpeluk tubuh, bercekak pinggang, menyeluk saku atau bersilang tangan belakang.
Bagi wanita yang menjadi pengiring, elakkan dari membawa tas tangan yang bergantung di bahu.


ADAT TERTIB MENYEMBAH SEMBAHAN KETIKA SPB TUANKU BERSEMAYAM (DUDUK)
Beri hormat takzim/menundukkan kepala - mara ke hadapan anggaran tiga langkah atau sehingga berhadapan
Menghadap atau di sebelah kiri/kanan tertakluk kepada keadaan tempat Baginda bersemayam
Beri hormat takzim - kendurkan kaki hingga hampir berlutut dengan lutut kiri mencecah lantai dan sembahkan persembahan itu.
Jika Tuanku menghulurkan tangan, sambut serta cium tangan Baginda.
Kemudian bangun dan berdiri sebentar, beri hormat takzim.
Undur tiga tapak ke belakang baru duduk semula ke tempat asal atau berpusing dan berjalan balik ke tempat asal, tertakluk kepada keadaan.


ADAT TERTIB KETIKA MENYEMBAH SEMBAHAN
Sediakan dulang yang beralaskan kain berwarna kuning.
Beri hormat takzim/menundukkan kepala - mara ke hadapan anggaran tiga langkah atau sehingga berhadapan
Sembahkan sembahan itu dengan menghulurkan dulang.
Jangan mengangkat barangan di atas dulang semasa menyembahkan sembahan kepada Baginda.
Apabila selesai, berdiri tegak sebentar dan beri hormat takzim sekali lagi.
Jika Tuanku menghulurkan tangan untuk bersalam, hendaklah beri hormat takzim sambil mencium tangan Baginda.
Undur tiga tapak ke belakang. Beri hormat takzim sekali lagi untuk duduk atau berpusing dan kembali ke tempat asal.


ADAT TERTIB KETIKA SPB TUANKU BERANGKAT LALU DIHADAPAN/ BELAKANG
Jika Tuanku berangkat lalu di hadapan atau di belakang, di tepi atau di sebelah,adalah takzim dan santun
jika bangun berdiri menghadap atau berpusing menghadap baginda dan menjunjung duli/tundukkan kepala sebagai tanda hormat.
Apabila Tuanku bangun dari tempat bersemayam, para hadirin perlulah juga berdiri sebagai tanda hormat.


ADAT TERTIB DALAM MAJLIS MAKAN
Jangan memulakan makan sebelum Tuanku santap.
Jauhkan dari menganga besar apabila menyuap makanan.
Apabila mengunyah mulut hendaklah ditutup.
Jangan bercakap dengan mulut penuh makanan.
Tentukan penggunaan alat-alat memakan digunakan dengan betul dan jangan sampai berbunyi bising
Sisa-sisa makanan tidak dibiarkan atas alas meja.
Selepas habis makan, alatan memakan hendaklah disusun rapat dan tidak dibiarkan berselerak.
Elakkan mengorek gigi dengan jari, gunakan napkin untuk menutup mulut apabila mengeluarkan makanan terselit di gigi itu.
Ketika batuk atau bersin, mulut hendaklah ditutup dengan napkin.
Elakkan dari menguap atau sendawa kekenyangan kuat-kuat.
Jangan mengorek telinga, menggaru-garu badan, menggeliat, mematahkan jari tangan dalam majlis jamuan.
Jauhkan dari mengangkat dagu atau meletak kedua belah siku di atas meja.
Apabila duduk di meja makan, bagi wanita, tas tangan hendaklah digantung di sebelah kanan dengan menggunakan "handbag holder" -
tidak sekali-kali diletak atas meja makan walaupun tas tangan tersebut kecil.


ADAT TERTIB DUDUK DALAM MAJLIS
Duduk dengan penuh adab sopan
Tidak duduk "bersila panggung " atau mengangkat kaki atas kaki atau lutut (Bersilang Kaki).
Tidak menghalakan tapak kaki ke hadapan Baginda @ berlunjur/bersilang kaki
Ketika majlis santapan,duduk dengan tertib.
Kedua-dua tangan hendaklah diletak di atas peha dan tidak berpeluk tubuh.
Siku tidak diletak di atas meja dan jika terpaksa meletak tangan di atas meja, letakkan tangan setakat pergelangan tangan di atas meja
Mendagu tidak dibenarkan.
Apabila duduk, elakkan dari duduk bersandar seolah-olah badan hendak menggelungsur turun.
Dalam majlis rasmi, elakkan dari berbual-berbual sesama sendiri sehingga lupa bahawa Tuanku di hadapan.
Jika perlu berbincang, bicaralah dengan perlahan dan tertib.


ADAT TERTIB BERTUTUR
Apabila baginda Tuanku berkenan bertitah, anda hendaklah menjawab, "Tuanku" setiap kali bersetuju iaitu menggantikan "Ya".
Gunakan "Ampun Tuanku" atau "Tuanku" di pangkal atau di penghujung ayat semasa bertutur menghadap Tuanku.
Jika bercakap tentang baginda berdua, hendaklah menggunakan "Tuanku Yang di-Pertuan Agong dan Tuanku Permaisuri Agong".   
Jauhkan dari menggunakan sebutan pendek dan ringkas.
Apabila Tuanku menunjukkan dengan jari telunjuk dan sebagainya, jangan meniru perbuatan yang sama.
tetapi hendaklah menunjukkan sesuatu itu dengan "ibu jari" sambil mengenggam jari-jari yang lain dan gunakan "Ampun Tuanku atau Tuanku".


Semoga panduan ini dapat dijadikan panduan kepada kita semua.

DAULAT TUANKU

Sumber : Istana Negara

No comments:

Post a Comment

korang nk tulis apa suka hati ler tapi jgn sampai yg boleh didakwa di mahkamah dan leh disaman juta-juta dah la. Pihak mentol neon tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam laman ini.